| |
Haji Ismail Pontianak
Tokoh
ulama perantau. 'Khatib Masjid Muhammadi dekad 1940-an yang paling popular.Lahir
sezaman dengan Mufti Haji Idris, Dato Perdana Haji Nik Mahmud, Tok Seridik dan
Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani.
Nama penuhnya ialah Haji Ismail bin Haji Abdul
Majid, tetapi
lebih dikenali dengan panggilan Haji Ismail Pontianak kerana lamanya beliau
berkelana dan bermastautin di Pontianak (Kalimantan Barat), bahkan pernah
dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak - berkhidmat selama suku abad (1910 -
1935).
Meskipun
demikian, Haji Ismail akhirnya kembali menetap di
Kelantan.Kerjaya awal tokoh lepasan Makkah ini dalam Perkhidmatan Majlis Agama
Islam Kelantan (MAIK) BERMULA PADA 1Januari 1940 apabila beliau dilantik menjadi
guru kitab di Jami' Merbau al-Ismaili dengan gaji permulaan $47.50
sebulan.Selanjutnya, beliau dipilih menganggotai Jemaah Ulama MAIK (10 April
1940 hingga 8 Februari 1947).Selain daripada itu, dilantik sebagai Penterjemah
Arab (semenjak 1 Julai 1941).
Zaman gemilang perkhidmatannya bermula pada 1 Mei 1943
apabila beliau dilantik menjadi Khatib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.Berbeza
dengan tok-tok khatib sebelumnya yang masih terikat dengan nota atau teks Arab
sepenuhnya, Haji Ismail memperkenalkan khutbahnya secara spontan, dalam bahasa
ibunda pula, terbukti sangat berkesan.Walaupun khutbahnya agak panjang, tetapi
ahli jemaah tidak bosan.Ini kerana beliau bijak menyusun kata, pandai menyelit
ungkapan bahasa "segar" bersesuaian dengan suasana yang mampu membuat
sidang hadirin tidak jemu atau mengantuk.Beliau bukan sahaja popular di kalangan
ahli jemaah dan anak-anak muridnya, malahan sangat disenangi oleh Sultan Ibrahim
sehinggakan dilantik menjadi guru agama merangkap Imam di Istana baginda.
Khatib panutan ini meninggal di
rumahnya, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada tengah malam Isnin 18 Muharram 1370 bersamaan 29 Oktober
1950 dan dikebumikan di Kg. Labok, Machang - kampung asalnya.
Satu-satu pusaka penulisan beliau yang diketahui sempat
dicetak edar ialah Kitab Pedoman Kemuliaan Manusia (cetakan pertama 1938),
setebal 320 muka iaitu sebuah karya "bunga rampai".
|
|