| |

DATO’ LAKSAMANA
1889 – 1939
Tokoh yang dikenali dalam dua bidang utama
- pentadbiran dan kewartawanan - ini lahir padatahun 1889 di Kota Bharu. Beliau ialah
anak sulung kepada Khatib Masjid Besar Kota Bharu, Dato’ Haji Muhammad Said (Dato’ Sri Diraja). Selepas mendapat pendidikan
asas di Kota Bharu, beliau berangkat ke Makkah pada 1902, berguru, antara lain, kepada
tokoh-tokoh seperti Tok Wan Ali Kutan, Sheikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani dan Sheikh Nik Mat Kechik al-Fatani. Selepas 8 tahun di Makkah, beliau
menyambung belajar di Mesir selama 4 tahun pula. Semasa di Mesir, beliau
diketahui sangat terpengaruh dengan aliran
pembaharuan (reformasi atau tajdid) anjuran tokoh reformis Mesir yang sangat terkenal, Muhammad Abduh dan rnuridnya Rashid
Ridha. Pulang ke Kelantan pada Oktober 1914.
Haji Muhammad termasuk senarai tiga orang tokoh besar negeri Kelantan yang
menggagaskan penubuhan Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)
bersama-sama dengan Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Haji Nik Mahmud dan Tok Kenali.
Selepas MAIK rasmi ditubuhkan pada 24 Disember 1915, beliau dilantik menjadi Setiausahanya yang pertama sehingga 1919.
Kerjaya beliau dalam pentadbiran
selanjutnya ialah menjadi Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pada 1 Januari 1917
dan Naib Yang Dipertua MAIK mulai 13 Ogos 1919. Puncak kerjaya beliau dalam bidang pentadbiran diraih pada 12
September 1925 apabila beliau dilantik menjadi penyandang sulung jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
Selain terlibat dalam bidang pentadbiran,
Haji Muhammad yang bergelar Dato’ Laksamana pada bulan Julai 1921 pun aktif dalam
bidang penulisan dan kewartawanan. Antaranya ialah menjadi Pengarang Pengasuh bagi tempoh yang cukup lama (Oktober
1919 - Disember 1933), pengarang bersama majalah bulanan al-Kitab (1920) dan penulis bagi buku-buku seperti
Rampai-Rampaian (2
penggal), sebuah novel saduran berjudul Kecurian 5 Million Ringgit (Januari 1922) dan 5 buah buku dalam bahasa Arab yang tidak
sempat dicetak. Senarai ini tidak termasuk puluhan tulisan beliau dalam Pengasuh
di bawah berbagai nama pena seperti Pengarang Pengasuh, Hashim bin Muhammad dan “Patriot”. Dato’ Laksamana yang pernah digelar “Bapa Wartawan Melayu Kelantan” ini
meninggal dunia pada hari Isnin 20 Mac 1939 sewaktu berusia 50 tahun.
|
|